Apa Itu Love Scam?
Love Scam (juga dikenali sebagai Romance Scam atau African Scam) adalah taktik penipuan di mana penjenayah memanipulasi emosi mangsa dengan berpura-pura menjalinkan hubungan romantik, persahabatan, atau janji perkahwinan.
Matlamat akhirnya bukan cinta, tetapi wang anda. Sindiket ini bijak bermain dengan psikologi dan kesunyian mangsa.
Profil Scammer Love Scam
Mereka selalunya menggunakan identiti palsu yang sangat meyakinkan:
- Wajah: Menggunakan gambar curi lelaki/wanita yang sangat kacak/cantik (seringkali model, influencer, atau orang biasa dari negara barat).
- Kerjaya Mewah: Juruterbang (Pilot), Jurutera Minyak & Gas (O&G), Doktor yang bertugas di zon perang (UN Doctor), atau Ahli Perniagaan Berjaya.
- Status: Duda/Janda kaya yang kematian pasangan, atau bujang terlajak yang mencari “cinta sejati”.
- Lokasi: Kononnya berasal dari UK, USA, atau Eropah, tetapi sedang bekerja di luar negara (di pelantar minyak, di kapal, atau misi kemanusiaan).
Modus Operandi (Taktik Jahat)
Fasa 1: Perkenalan (The Hunt)
Mereka mencari mangsa di Facebook, Instagram, TikTok, atau aplikasi dating (Tinder, Omi). Mereka akan menghantar mesej peribadi (DM) yang sangat sopan dan puitis.
Fasa 2: Membina Hubungan (Love Bombing)
- Mengambil berat setiap hari (Good morning/Good nite yang konsisten).
- Menggunakan panggilan manja (Honey, Sayang, Baby, Wife).
- Berjanji untuk berkahwin dan datang ke Malaysia untuk hidup bersama.
- Fasa ini boleh mengambil masa seminggu hingga berbulan-bulan untuk membina kepercayaan penuh.
Fasa 3: Perangkap (The Trap)
Ada dua skrip utama yang sering digunakan:
Taktik A: “Hadiah Tanda Cinta” (Parcel Scam)
- “Kekasih” memberitahu dia telah mengirimkan hadiah mewah (beg tangan, jam tangan, wang tunai Dolar, iPhone) sebagai tanda cinta.
- Dia menghantar gambar resit penghantaran (palsu) dan gambar barang.
- Beberapa hari kemudian, anda menerima panggilan daripada “Kastam” atau “Kurier”.
- “Kastam” mendakwa barang ditahan kerana ada wang tunai berlebihan atau barang tidak diisytiharkan.
- Anda perlu membayar denda/cukai segera ke dalam akaun peribadi (akaun mule) untuk melepaskan barang.
Taktik B: “Kecemasan” (Emergency)
- “Kekasih” mendakwa ditimpa musibah (kemalangan, disamun, sakit tiba-tiba, kad kredit disekat, atau projek tersekat).
- Meminta pinjam wang untuk “sementara” dan berjanji akan bayar berganda apabila masalah selesai.
Tanda-Tanda Amaran (Red Flags) 🚩
Jika “kekasih online” anda mempunyai ciri-ciri ini, HATI-HATI:
- Terlalu Cepat Jatuh Cinta: Baru kenal seminggu sudah panggil “Wifey/Hubby” dan ajak kahwin.
- Tidak Mahu Video Call: Sentiasa ada alasan (kamera rosak, line internet pelantar minyak tak kuat, peraturan tentera).
- Profil Media Sosial Baru: Akaun Facebook baru dibuat, rakan sedikit, gambar semua dimuat naik pada tarikh yang sama.
- Bahasa Melayu Pelik: Jika dia mengaku orang Malaysia/Islam tetapi mesejnya macam guna Google Translate.
- Minta Wang: Cinta sejati tidak akan minta duit dari orang yang belum pernah ditemui.
Cara Semak Gambar “Kekasih”
Gunakan teknik Reverse Image Search untuk melihat adakah gambar profil mereka adalah gambar curi:
- Simpan gambar profil mereka.
- Pergi ke Google Images.
- Klik ikon kamera dan muat naik gambar tersebut.
- Lihat keputusan carian. Jika gambar itu milik model, aktor, atau orang lain dengan nama berbeza, ANDA SEDANG DITIPU.
Apa Nak Buat Jika Terjerat?
- PUTUSKAN HUBUNGAN. Block nombor telefon, WhatsApp, dan media sosial serta-merta.
- JANGAN BAYAR. Abaikan ugutan “Kastam” atau rayuan “Kekasih”.
- SIMPAN BUKTI. Screenshot semua perbualan dan resit bank.
- LAPOR. Buat laporan polis dan lapor akaun bank yang digunakan ke SEMAKMULE.
Cinta itu buta, tetapi jangan sampai buta wang ringgit. Berhati-hati mencari jodoh di alam maya.
🚨 Terima Panggilan Mencurigakan?
Laporkan nombor scammer untuk membantu pengguna lain mengelak daripada penipuan.
Laporkan Nombor Sekarang →